TAIPING – Dua orang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan penipuan dalam pelaburan urus niaga mata wang asing (FOREX) berjumlah RM5,720, dua tahun lalu, pada Selasa.

Kedua-dua tertuduh iaitu Yap Ying Chao, 25, dan Boo Weil Seng, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.

Bagaimanapun, ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan buat kali kedua kira-kira setengah jam selepas itu, kedua-dua tertuduh hanya mendiamkan diri walaupun ditanya berulang kali oleh Syed Faisal.

Mengikut pertuduhan,  mereka menerima deposit daripada orang awam berjumlah RM5,720 tanpa satu lesen yang sah diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.14 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting, Kamunting pada 12 April 2016.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Safiyatun Ahmadun.

Tindakan mereka itu membuatkan mahkamah membuat keputusan untuk menolak pengakuan pertama yang dibuat tertuduh.

Mahkamah terpaksa menolak pengakuan tertuduh kerana ia adalah pengakuan bersyarat. Oleh itu mahkamah menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh.

Syed Faisal menetapkan 7 September untuk kes dibacakan semula dengan memanggil jurubahasa kerana tertuduh dilihat tidak memahami pertuduhan dibacakan kepadanya sebanyak dua kali.