TAIPING: Dua lelaki yang sedang leka mencuri durian daripada sebuah dusun di Kampung Berchat, Lubuk Gajah, dekat sini, berjaya diberkas awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek ditangkap pemilik dusun dan penduduk kampung, kira-kira jam 3 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian, pemilik dusun dan dua rakannya ternampak suspek sedang memasukkan durian ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Pengadu bersama kawan pengadu telah menangkap suspek dan menjumpai satu raga yang mengandungi buah durian lebih kurang 30 biji di atas boot kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pengadu memiliki kebun dusun durian kira-kira 4.5 hektar (10 ekar) yang tidak berpagar.

Katanya, kedua-dua suspek yang mengaku mencuri buah durian di dusun pengadu dibawa ke Balai Polis Changkat Jering bersama barang kes.

Mereka direman tiga hari sehingga 16 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.