SERI ISKANDAR: Polis telah menahan dua lelaki termasuk seorang pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) selepas menemui seguni daun ketum seberat satu kilogram di dalam kenderaan yang dinaiki mereka di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek berusia 20 dan 23 tahun itu, ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 29, Lebuhraya Ipoh-Lumut pada jam 2.30 pagi tadi.

Unknownfffff

“Kedua-dua mereka yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi telah diarahkan memberhentikan kenderaan di bahu jalan kerana disyaki penagih dadah.
“Pemeriksaan tubuh badan ke atas mereka tidak menjumpai apa-apa barang menyalahi undang-undang namun pemeriksaan ke atas kenderaan itu telah menjumpai satu guni di dalamnya mengandungi daun-daun disyaki ketum,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambah Mohamad Zainal, siasatan lanjut mendapati daun ketum tersebut akan diproses sebelum dijual di dalam kampus tempat salah seorang susupek belajar di Lumut.

“Saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.