SIMPANG PULAI: Tidak lepas memotong sebuah kereta, dua maut manakala seorang lagi cedera parah setelah kereta dinaiki tiga mangsa bertembung dengan sebuah lori tangki dalam kemalangan ngeri di Jalan Keramat Pulai, Kampung Raja dekat sini petang tadi.

Dua maut merupakan Nur Al Ashiqin Abdul Kadir,33, bersama adik ipar, Muhamad Ashraf bin Shamsor, 19 yang menjadi penumpang kereta jenis Perodua Viva.

Dalam pada itu, suami mangsa, Khairulzaman Shamsor, 27, yang menjadi pemandu kenderaan berkenaan cedera parah dan kesemua mereka berasal dari Raub, Pahang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, lebih kurang jam 3.10 petang, polis menerima maklumat awam mengenai satu kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dan lori tangki di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Ipoh menghala ke Cameron Highlands manakala lori tangki dari arah Cameron Highlands ke Simpang Pulai.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dinaiki tiga mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta, namun hilang kawalan.

“Kereta terbabit kemudiannya bertembung bahagian hadapan lori tangki berkenaan dan menyebabkan mangsa seorang wanita yang duduk di tempat penumpang hadapan maut di lokasi kejadian.

“Seorang lagi mangsa lelaki yang duduk tempat penumpang belakang kemudiannya disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan kecemasan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, kedua-dua mayat mangsa kini sedang dijalankan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan waris mereka sudah dimaklumkan.

Menurutnya, keadaan si suami mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Ipoh, manakala pemandu lori berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut sedang diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

-SinarHarian