DUA lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang lori di Kilometer 249.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Hentian Senawang, Seremban, hari ini.

Dalam kejadian 6.20 pagi itu, pemandu kereta, Tan Foo Soon, 23, bersama saudaranya, Tan Wei Ren, 28, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, mangsa yang menaiki kereta Proton Wira dipercayai dalam perjalanan ke Melaka.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila lori satu tan jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 30 tahun mengubah laluannya dari lorong kanan ke kiri secara tiba-tiba.

“Mangsa yang baru keluar dari Hentian Senawang gagal mengelak lalu merempuh bahagian kanan belakang lori terbabit.

“Kedua-dua mangsa yang berasal dari Linggi dekat sini, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu lori tidak cedera.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – hmetro