KUALA KURAU: Dua maut selepas kereta dipandu terbabas dan terbalik ke dalam parit yang berselut di Jalan Bagan Seberang Kuala Gula di sini pada Ahad.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, dalam kemalangan sekitar jam 11 pagi itu, seorang mangsa maut di temat kejadian manakala seorang lagi maut di hospital ketika mendapatkan rawatan.

“Kita mendapat panggilan sekitar 11.35 pagi dan setibanya di lokasi, didapati berlakunya kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Unser terbalik dalam parit yang dipenuhi air dan berselut.

“Kedua-dua mangsa juga telah dikeluarkan orang awam, seorang disahkan meninggal di lokasi manakala seorang lagi meninggal di hospital,” katanya.

Tambah beliau, anggota telah bertindak membantu orang awam menaikkan mangsa ke tebing jalan raya dari dalam parit tersebut.

“Pemantau di sekitar lokasi juga telah dibuat bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terlibat dan operasi telah tamat sekitar jam 12.22 tengah hari,” jelasnya.