MUKAH: Dua lelaki maut apabila lori yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Sungai Arip, di sini, hari ini.

Pemandu lori, Muhammad Fikri Rokkie Bansa Abdullah, 25 dan kelindannya yang belum dikenalpasti identiti disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di dalam kenderaan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian pada jam 7.40 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Bintulu untuk menghantar baja ke sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Arip.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, lori yang dipandu Muhammad Fikri Rokkie dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit.

“Lori yang hilang kawalan itu kemudiannya merempuh belakang sebuah lagi lori yang berada di hadapannya menyebabkan pemandu dan kelindan lori membawa muatan baja itu tersepit di dalam lori yang remuk teruk.

“Lelaki berusia 34 tahun yang memandu lori yang dirempuh itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Alexson berkata, mayat kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – berita harian