GERIK – Dua lelaki maut selepas lori membawa muatan ayam yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 10, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli malam tadi.

Menurut jurucakap bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.38 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, sewaktu tiba, bomba mendapati pemandu dan kelindan lori tersebut tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Anggota bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa dari tempat duduk masing-masing dan mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Ujarnya, operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 11.13 malam. – K! ONLINE