IPOH: Dua penunggang motosikal maut, manakala seorang pembonceng cedera dalam kemalangan tiga motosikal di Jalan Bercham, dekat sini, awal pagi tadi.

M Gogilan, 24, beralamat di Taman Rima Gamelan, dekat sini dan A Agilan, 19, beralamat di Bandar Baru Putra, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Seorang lagi penunggang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan jam 4.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 39 tahun, dari arah Balai Polis Bercham menghala ke Persiaran Bercham Utara cuba mengelak motosikal kedua-dua mangsa, yang secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.

“Motosikal yang ditunggang Gogilan masuk ke laluan bertentangan dan lelaki terbabit cuba mengelak lalu melanggar sebuah lagi motosikal ditunggang Agilan yang datang dari arah sama,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.