SLIM RIVER: Dua maut, seorang cedera dalam kemalangan tiga buah lori di Kilometer 379.8 Lebuhraya PLUS arah utara, dekat sini, malam Isnin.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Perak, Mohamad Yunus Abu, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 7.18 malam.

Menurut beliau, kemalangan melibatkan dua buah lori tangki yang membawa muatan getah dan sebuah lori kontena.

Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu dua lori tangki yang membawa muatan getah.

“Tiada mangsa yang tersepit dan anggota membuat rawatan awam kepada mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak ambulan dan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Ibrahim Mat Isa tamat jam 8.24 malam.