TAIPING: Dua lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaan manakala dua lagi cedera dalam nahas jalan raya yang berlaku di Jalan Kamunting Lama berhampiran Kem Sangro pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi, S Yugendran, 27, dan M Kalidasan, 25, tercampak keluar dari kereta Proton Saga dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, kemalangan ITU membabitkan sebuah lagi kereta jenis Audi A5 yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 47 tahun.

“Kereta Audi menghala ke Taiping Lake Garden dari arah Batu Kurau, sebelum kenderaan mangsa yang datang dari arah bertentangan, memasuki laluan kenderaan itu.

“Pemandu Audi gagal mengelak dan melanggar sisi kiri kereta Proton Saga menyebabkan dua mangsa tercampak keluar dari kereta dan maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita.

Harrith berkata, kemalangan tersebut turut menyebabkan pemandu kereta Proton Saga mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pemandu Audi luka ringan di bahagian tangan kanan.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Taiping bagi tujuan bedah siasat.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.