Oleh: Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Seorang wanita warga asing dan seorang kanak-kanak perempuan, dipercayai anaknya, maut selepas terperangkap dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Sinaran, di sini,pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa berkata, wanita berusia sekitar 50an dan anaknya berusia 12 tahun itu dipercayai lemas setelah terhidu asap ketika
berada di bahagian bawah rumah itu yang terbakar kira-kira jam 3.30 pagi.

Katanya, kedua-dua mangsa yang masih belum diketahui identitnya dipercayai cuba keluar dari rumah tersebut namun gagal kerana pintunya berkunci.

Menurut Ismail, saksi kejadian memberitahu, dia terdengar jeritan kedua-dua mangsa meminta tolong dan ternampak mereka cuba keluar dari rumah itu.

“Pada waktu itu, asap tebal sudah mula memenuhi kawasan rumah. Saksi kemudiannya tidak lagi nampak kelibat mangsa dan dipercayai mereka naik ke tingkat atas.

“Saksi kemudiannya cuba memecahkan tingkap rumah untuk menyelamatkan mangsa, namun bahang api yang kuat membuatkan jiran lain tidak dapat memasuki rumah berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam sebuah bilik di tingkat atas dan fizikal mayat sempurna namun ada sedikit perubahan warna kulit.

“Seorang mangsa ditemui di hadapan pintu bilik manakala seorang lagi mangsa berada di tepi tingkap dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah-siasat,” ujarnya.

Beliau menambah, polis masih menunggu laporan penuh untuk mengetahui punca sebenar kebakaran itu.