KUALA KURAU – Dua nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kuala Kurau selepas mereka dikatakan tidak pulang dari aktiviti memancing di laut sejak semalam.

Mangsa, Yap Bae Lun, 55, dan rakannya, Ong Cho Peen, 56, yang berasal dari sini keluar ke laut menaiki bot fiber warna biru menggunakan enjin kapasiti 200 kuasa kuda lebih kurang jam 4 petang hari tersebut.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Safril Aza Mustapa berkata, kehilangan kedua-dua nelayan tersebut dimaklumkan oleh pihak polis setelah laporan dibuat di Balai Polis Kuala Kurau, pada jam 7.50 malam.

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat segera dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau berdasarkan maklumat diperolehi dari keluarga mangsa.

“Pencarian dilaksanakan ini telah mengambil kira faktor pergerakan angin serta keadaan laut ketika kejadian sepanjang minggu ini.

“Usaha mencari dan menyelamat akan ditumpukan ke utara sepanjang perairan dari Kuala Kurau hingga perairan Tanjung Piandang.

Keratan gambar laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa terhadap kehilangan dua nelayan yang tidak pulang setelah keluar menangkap ikan di laut semalam.
“Sektor pencarian mungkin akan diluaskan hingga ke perairan Pulau Pinang,” katanya kepada media di sini hari ini.

Safril Aza berkata, selain APMM, agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah dihubungi untuk turut terlibat membantu pencarian mangsa dikoordinasikan APMM sendiri.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sebaik aduan diterima pada malam semalam dengan keluasan radius pencarian dimulakan sekitar empat batu nautika daripada muara Kuala Kurau.

“Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919,” katanya.-Sinarharian