LUMUT 28 Dis. – Jabatan Perikanan daerah ini menahan dua nelayan warga asing kerana menangkap ikan menggunakan bubu naga di Pantai Sungai Belukang, Rungkup dekat sini hari ini.

Ketua Pangkalan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Malaysia Lumut, Mansor Yobe berkata, hasil daripada aduan yang diterima pada pukul 8 pagi, sepasukan anggota penguatkuasa jabatan itu telah menuju ke lokasi.

Menurutnya, setibanya dilokasi, didapati dua nelayan yang menggunakan sampan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bubu naga.

“Hasil daripada penggeledahan, terdapat dua nelayan asing warganegara Myanmar dan 82 buah bubu naga di atas sampan tersebut.

“Sampan yang digunakan tiada lesen sampan serta menggunakan nombor pendaftaran palsu dan sampan tersebut ditunda ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, dekat sini” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua nelayan asing itu ditahan dan peralatan bubu naga dirampas di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan pemilik boleh kompaun tidak kurang daripada RM500,” katanya.

Beliau berkata, bubu naga adalah peralatan menangkap ikan yang telah dilarang penggunaanya berkuatkuasa pada 1 November 2018.

“Bubu naga merupakan peralatan yang boleh menyebabkan spesies anak ikan mengalami kepupusan kerana peralatan ini memerangkap anak ikan di kawasan persisiran pantai,” katanya. – UTUSAN ONLINE