LUMUT – Dua nelayan berjaya melarikan diri dari ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) selepas tekad terjun laut kira-kira 0.6 batu nautika barat daya kuala Sungai Rungkup, Bagan Datuk, pagi semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kejadian sekitar jam 9.30 itu berlaku ketika bot petir milik Maritim sedang melakukan rondaan sebelum mendekati sebuah bot nelayan tempatan.

“Anggota melihat terdapat sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda lalu mereka menghampiri bot tersebut.

“Namun apabila mereka menghampiri bot terbabit dua nelayan terus terjun ke dalam laut dan berenang ke pantai berhampiran bagi meloloskan diri,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Mat, anggota Maritim tidak berjaya mengejar dua nelayan tersebut ekoran kawasan terbabit cetek, namun pihaknya berjaya merampas bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati ia telah diubahsuai bagi membolehkan bot terbabit menggunakan pukat tunda untuk menangkap ikan.

“Bot berkenaan diiringi balik ke Jeti Kampung Acheh untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Jelas Wan Mat lagi, pihaknya sering menerima aduan nelayan pantai mengenai kegiatan pukat tunda oleh bot jenis C di perairan terbabit hingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Maritim menggesa agar nelayan-nelayan terlibat menghentikan segera aktiviti tidak bertanggungjawab yang menyusahkan nelayan tradisional.

“Pada masa sama juga kami meminta agar semua pihak bekerjasama membanteras kegiatan haram ini dengan menyalurkan maklumat bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan,” katanya.