KUALA TERENGGANU: Dua tekong Vietnam berusia 49 dan 51 tahun ditahan ketika cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjumlah RM1,000 semalam.

Selain mereka, turut ditahan 17 nelayan dari negara sama kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Semua nelayan itu bersama dua bot ditahan dan dibawa ke APMM Daerah Maritim Kuala Terengganu di Pulau Kambing untuk siasatan lanjut.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, dua bot berkenaan ditahan ketika sedang menangkap ikan secara tunda ganding di kedudukan 73 dan 77 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada jam 7.16 dan 8 pagi semalam.

“Enam daripada nelayan terbabit memiliki pengenalan diri yang sah manakala yang lain termasuk tiga orang daripada mereka di bawah umur berusia antara 14 hingga 54 tahun tidak memiliki sebarang dokumen.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 14 (3) akta sama.

” Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Rahim berkata, tangkapan ikan menggunakan kaedah tunda ganding adalah haram di negara ini dan kebanyakan nelayan asing yang menceroboh perairan negara menggunakan kaedah itu bagi mencuri hasil laut negara.

“Menerusi tangkapan semalam, kita merampas dua tan ikan pelbagai jenis, 500 kilogram ikan baja serta 3,000 liter diesel dan peralatan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya – berita harian