KUALA TERENGGANU: Dua pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu direman empat hari sehingga Khamis ini selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM20,000 daripada seorang pemilik kilang kayu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 59 dan 58 tahun masing-masing yang bertugas sebagai pegawai penyiasat serta penolong penyiasat dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff.

Suspek direman bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sebelum ini, dua suspek ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Kampung Gong Medang, Besut dan Pejabat SPRM Terengganu, masing-masing pada jam 12.25 tengah hari dan 6.10 petang semalam dalam operasi Ops Twin.

Suspek ditahan selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah RM20,000 daripada pemilik kilang kayu pada tahun 2015 bagi melepaskan dua anaknya daripada kesalahan memproses kayu haram yang dikeluarkan dari hutan simpan yang disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 – berita harian