IPOH: Dua pelajar lelaki berusia 13 tahun mati lemas ketika mandi bersama tiga lagi rakan mereka di sungai berhampiran Kampung Tersusun Batu 4, Tambun, dekat sini, pada Selasa.

Mangsa ialah Alif Azam Azmin Azam, 13 dan Muhammad Farid Nazmi Abd Khader, 13.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.57 pagi.

“Bomba yang tiba di lokasi kejadian segera membuat kerja-kerja mencari dan menyelamat dengan kaedah pencarian di permukaan,” katanya pada Selasa.

Menurutnya, mayat Alif Azam berjaya ditemui kira-kira jam 10.12 pagi manakala mayat Muhammad Farid ditemui kira-kira jam 10.28 pagi.

“Mangsa pertama berjaya ditemui dengan menggunakan teknik ‘skin dive’ manakala mangsa kedua menggunakan peralatan menyelam pada kedalaman kira-kira lima meter di dasar sungai,” ujarnya.

Teknik ‘skin dive’ ialah penyelam akan memakai baju ‘wetsuit’ yang boleh terapung dah terjun ke dasar selepas melihat mangsa dari atas.

Operasi tamat kira-kira jam 11.15 pagi dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk tindakan lanjut.