TAIPING: Dua pelajar sekolah menengah maut apabila motosikal mereka bertembung dalam satu kemalangan jalan raya di Kg. Jabi, Jalan Anak Kurau-Batu Kurau di sini pada malam Khamis.

IMG_20170728_142649

Dalam kejadian pada pukul 9.20 malam, Abd Rasyid Rosid dan Mohd Saharudin Sahrol Azman yang belajar di SMK Kampung Perak, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika Abd Rasyid dalam perjalanan ke Batu Kurau dari Anak Kurau.

Katanya, motosikal yang dinaiki oleh Abdul Rasyid telah bertembung dengan Mohd Saharudin yang menunggang motosikal dari arah bertentangan.

“Akibat daripada rempuhan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Harrith Kam berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati jalan dalam keadaan kering dan cuaca gelap pada waktu tersebut.

“Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya