BOTA – Dua pelajar Tingkatan Empat ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam dua kes berasingan melibatkan curi motosikal di salah sebuah masjid serta pecah masuk sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 16 tahun itu ditahan pada jam 6 petang semalam di Bota.

“Kedua-dua mereka ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah motosikal di kawasan Masjid Iskandar Shah, Bota Kiri, 15 Disember lalu.

“Mereka juga terlibat dengan satu kes pecah rumah yang dilaporkan pada Rabu lalu sekitar jam 2 pagi di Bandar Universiti, Seri Iskandar dan pengadu memaklumkan dia kehilangan jam tangan berharga RM700,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Zainal jam tersebut berjaya dirampas semula daripada salah seorang pelajar berkenaan bersama motosikal yang dicuri selepas mereka menyembunyikannya di hutan belakang rumah salah seorang daripada mereka.

“Ibu bapa serta pengetua sekolah pelajar berkenaan tidak menyangka kedua-dua mereka terlibat dalam kejadian curi dan pecah rumah kerana mereka bukan kategori pelajar bermasalah di sekolah.

“Kedua-dua mereka ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya – sinar harian