MUALLIM: Dua lelaki yang sesat lebih lima jam ketika mendaki Gunung Liang, di sini, ditemui selamat oleh pasukan penyelamat, 2.42 pagi tadi (Selasa).

Kedua-dua mangsa berusia 20 tahun ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari kaki gunung berkenaan dalam keadaan lemah, sebelum dibawa turun pada 5.51 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Abdul Rahim Sa’ari berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.58 malam memaklumkan tiga mangsa sesat di gunung berkenan sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, anggota mendapati hanya dua mangsa yang sesat di gunung berkenaan manakala seorang lagi rakan mereka yang turut sama dalam aktiviti mendaki itu berjaya menemui jalan dan turun sendiri ke kaki bukit.

Menurutnya, bomba bersama beberapa agensi lain seperti polis dan Agensi Pertahanan Awam (APM) kemudiannya menjalankan kerja mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa.

“Kedua-dua mangsa dipercayai penuntut kolej kemudiannya ditemui selamat, namun keadaan mereka agak lemah kerana kemungkinan terlalu kepenatan mencari jalan turun,” katanya.

Ujarnya, mangsa berjaya dibawa turun sebelum dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.