IPOH: Dua pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan penyalahgunaan wang milik orang lain bernilai RM27,500, dua tahun lalu.

Selva Rajah, 45, dan Jazlan Abdullah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan kepada mereka serentak di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan wang milik Fatimah Shamsulaman, 55, yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Sunner Group International Berhad pada 23 dan 24 November 2015.

Majistret Siti Hafiza membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa dengan curang menyalahgunakan wang RM13,500 kepunyaan Fatimah yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank bernombor 3179903916 milik Sunner Group International Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Station 18 di sini pada 23 November 2015, kira-kira pukul 10.04 pagi.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curang menyalahgunakan wang RM14,000 milik Fatimah yang telah dimasukkan ke dalam akaun sama milik syarikat sama di Public Bank Jalan Pasir Puteh di sini pada 24 November 2015, kira-kira pukul 11.40 pagi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, K. Harikrishnan.

Selva Rajah dan Jazlan dituduh di bawah Seksyek 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyeh 34 kanun yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun beserta denda dan sebat.

Kes disebut semula pada 9 November depan.