IPOH: Dua pegawai penguatkuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan berjumlah RM8000.

Sumber memberitahu, pegawai berpangkat Pembantu Penguatkuasa dan Penolong Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu ditahan pada pukul 10.45 malam Selasa di Dataran Bandaraya di sini.

Difahamkan, suspek yang berusia 34 dan 35 tahun itu meminta sogokan itu dari seorang peniaga berumur 44 tahun sebagai dorongan untuk menutup kes peniaga berkenaan yang disiasat oleh KPDNKK.

Peniaga tersebut disiasat agensi itu bagi kesalahan menjual arak tiruan di dua buah premis pada tahun 2014.

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk direman pada Rabu bagi membantu siasatan.