IPOH: Dua penoreh getah ditahan kerana disyaki mencuri dua guni getah beku seberat 30 kilogram bernilai RM130 di sebuah kebun di Jalan Kuala Rui dekat Gerik, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Jamalani Mat Isa berkata kedua-dua suspek berumur 26 dan 16 tahun ditangkap seorang lelaki yang juga pemilik kebun itu kira-kira pukul 6.30 petang.

“Pengadu ternampak suspek sedang mengutip getah beku dari pot getah dan memasukkannya ke dalam guni sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

Pengadu berjaya menangkap suspek selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di dalam kebun,” katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Beliau berkata suspek mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang dengan melakukan kegiatan mencuri getah dan menjualnya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian mendapati kebun yang terletak kira-kira 100 meter dari jalan besar itu tidak berpagar dan tiada penjaga. – Bernama