IPOH – Dua pusat mengundi di Bagan Serai dilaporkan putus bekalan elektrik selama beberapa minit kerana ribut petir di kawasan terbabit.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri, Mohd Nazri Ismail berkata, namun tindakan pantas oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah berjaya menyambung semula bekalan dan keadaan telah kembali normal selepas itu.

“TNB sudah buat (baiki), ianya disebabkan kilat , ribut petir terlalu kuat dan memberi kesan kepada RCCB (Pemutus Litar Arus baki) sahaja, tidak lama selepas itu dah kembali normal,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Rabu.

Sementara itu, beliau memberitahu setakat jam 2 petang tadi, 61.45 peratus daripada 1,472,985 pengundi di negeri ini telah membuang undi.

Katanya, proses pembuangan undi di negeri ini berjalan dengan lancar dan hanya terdapat beberapa kes pengundi tidak dibenarkan mengundi.

“Kes-kes seperti ini ada kaitan dengan undi dua kali, maka mereka tidak diberikan kertas undi kerana nama telah dipotong.

“Perkara ini berlaku berkemungkinan kerana kad pengalannya telah digunakan atau mereka sebelum ini memohon undi pos namun datang juga hari ini untuk mengundi,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengesa pengundi di negeri ini untuk keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh berbaki tidak kurang dua jam dari sekarang.

“Trend menunjukkan pengundi masih lagi keluar lagi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi, sekarang cuaca nampak cerah, tadi di sesetengah tempat hujan dan ada kawasan yang hujan mungkin sekarang sudah reda,” jelas beliau.

BERITA BERKENAANPusat Mengundi SK Jalan U3, Subang Perdana Terbakar!