IPOH: Dua pusat pemindahan banjir telah dibuka di Hilir Perak berikutan hujan lebat yang berterusan sejak pagi Khamis.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Banjir Negeri berkata, seramai 40 mangsa daripada Sungai Manik dan Changkat Jong telah ditempatkan di kedua-dua pusat pemindahan berkenaan.

“Di Changkat Jong terdapat 32 mangsa dari Kampung Degong telah dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Kg. Degong sejak 10.30 pagi tadi.

“Manakala di Sungai Manik pula terdapat 8 mangsa dari Kampung Parit 3, Sungai Rambai telah ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Headwork sejak 1.45 petang, kesemua yang dipindah melibatkan 11 keluarga” katanya.

Tambah beliau, seramai 50 anggota dari pelbagai agensi telah terlibat dalam kerja-kerja pemindahan berkenaan.

“Setakat ini hanya daerah Hilir Perak sahaja yang terlibat di dalam operasi pemindahan manakala daerah-daerah lain masih dalam keadaan biasa,” ujarnya.