IPOH, 31 Mac — Bencana banjir yang melanda Perak kini merangkumi dua daerah susulan pembukaan dua pusat pemindahan sementara di Kerian, 76 kilometer dari sini, malam tadi, selain di daerah Larut, Matang dan Selama.

Dalam kenyataan pagi ini, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata pusat yang baru dibuka itu menempatkan 183 penduduk daripada 42 keluarga yang terpaksa dipindahkan susulan banjir kilat.

Pusat terbabit ialah Dewan Orang Ramai Lalang yang menempatkan 98 mangsa dan Dewan Orang Ramai Kampung Alor Setanggok dengan 85 mangsa, katanya.

Berkenaan banjir di Larut, Matang dan Selama, jumlah mangsa kekal 96 orang merangkumi 23 keluarga yang ditempatkan di Surau Kelip-Kelip, Kampung Dew.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir Perak seramai 279 orang di tiga pusat pemindahan di dua daerah setakat 9 pagi ini, katanya.

— BERNAMA