IPOH: Walaupun kebanyakan mangsa banjir telah pulang ke rumah masing-masing, 196 mangsa daripada 55 keluarga di dua buah kampung masih di tempatkan di pusat pemindahan sementara di kampung mereka sehingga jam 4 petang Selasa.

Seramai 13 mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di Surau Kampung Padang Serai Dalam manakala 183 mangsa daripada 51 keluarga pula ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.

Walaupun kedua-dua kampung itu terletak di dalam dua daerah berbeza iaitu Manjung dan Larut Matang dan Selama (LMS), tetapi sebenarnya kampung tersebut terletak bersebelahan sahaja.

Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), banjir lambat surut di kedua-dua kampung itu kerana fenomena air termenung disebabkan kedudukan lebih rendah daripada paras laut.