TAIPING: Dua lelaki yang terlibat dalam kes pembunuhan isteri seorang anggota polis trafik di Ulu Kinta, Ipoh tiga tahun lalu masing-masing dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Taiping hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati itu terhadap A Nagarujun, 22, dan hukuman penjara sehingga diberi pengampunan kepada rakannya berusia 20 tahun selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama membunuh Izaah Abdullah, 52, di No 9, Laluan Tanjung 4, Taman Tanjung Emas, Ulu Kinta, Ipoh, antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada 11 Februari 2015.

Kedua-duanya yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu didapati bersalah selepas mahkamah mendapati melalui keterangan saksi digabungkan menjurus kepada satu kesimpulan bahawa kedua-dua tertuduh melakukan pembunuhan ke atas mangsa.

Asmadi berkata, hukuman penjara sehingga diberi pengampunan itu diperintahkan kepada lelaki berusia 20 tahun berkenaan kerana kesalahan itu dilakukan ketika dia berusia 16 tahun, sekali gus tidak membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azrul Faidz manakala Nagurujun diwakili peguam Datuk Naran Singh dan tertuduh berusia 20 tahun diwakili Ranjit Singh.