TAIPING: Dua sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah kerana mengedar ganja tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamed Zaini Mazlan, membuat keputusan itu terhadap kontraktor, V Nadarajan dan pekerja kilang, R Vikneswaran, kedua-duanya berusia 30 tahun.

Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mengedar ganja seberat 2.928 kilogram di kawasan letak kereta pasar raya TF Value Mart, Jalan Lintang, Sungai Siput, kira-kira jam 7.20 malam, pada 14 Januari 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azrul Faidz, manakala Nadarajan diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan Vikneswaran diwakili P Ravi.