IPOH: Keseronokan empat sahabat mandi di Sungai Lubuk Ular, Kampung Juang, Simpang Pulai dekat sini berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari Isnin, Muhammad Izani Shaiful Anuar, 18, dan Fadzlin Ilyana Fauzi Amir, 15, ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras.

Rakan mangsa, Ili Aqila Ahmad Najib, 15, berkata, dia bersama Muhammad Izani dan seorang lagi rakan mereka, Nur Sadieq Hafizi Hamidun, 18, cuba menyelamatkan Fadzlin yang dihanyutkan arus ke tengah sungai selepas terjun dari batu.

Katanya, cubaan mereka gagal dan Muhammad Izani serta Fadzlin terus hanyut ke tengah sungai lalu tenggelam manakala beliau dan Nur Sadieq dihanyutkan ke darat.

“Saya nak tolong Fadzlin namun Muhammad Izani melarang dan menyuruh saya ke darat kerana bimbangkan keselamatan saya.

“Kedua-dua mereka kemudiannya terkapai-kapai dan hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.

Mayat kedua-dua mangsa ditemui di dasar sungai oleh pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai selepas operasi mencari dijalankan.

Sementara itu, ibu kepada Fadzlin, Faridah Shuib, 40, berkata, beliau tidak menyangka perubahan sikap anaknya itu yang kurang bercakap dan suka menyendiri sejak akhir-akhir ini, merupakan satu petanda.

“Kami belum sempat berbuka puasa bersama lagi walaupun tinggal dalam satu rumah kerana dia lebih suka menyendiri dan duduk di dalam bilik sedangkan sebelum ini dia tidak seperti itu,” katanya.