LARUT- Dua sahabat lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Bukit Raja, Kampung Perak, Batu Kurau pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, Mohammad Furqan Mohamad Yahaya, 20, dari Kampung Perak dan Mohd Zaid Aqwah Putra 20, dari Kampung Sungai Ara dijumpai dalam lubuk sungai tersebut.

“Kira-kira jam 1 petang empat orang lelaki dalam lingkungan umur 20 tahun mandi di kawasan tersebut yang mana salah seorang dipercayai hampir lemas.

“Salah seorang kawan cuba membantu tapi kedua-duanya lemas.Pihak polis sampai di tempat kejadian 15 minit kemudian dan mendapati kedua-dua mangsa telah dijumpai hasil bantuan orang kampung.

“Tempat kejadian berupa lubuk sungai kawasan berbukit,kedalaman tempat kejadian kira-kira 12 kaki,”katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya lagi, kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat lemas (Drowning) dan mayat mangsa telah dituntut oleh waris masing-masing.