PADANG BESAR: Dua sahabat ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ketika memancing di sebuah kolam tadahan di Bukit Chabang di sini, petang tadi.

Mayat Muhammad Addam Mat Desa dan Muhammad Rabbani Zaini, masing-masing berusia 10 tahun, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 5.25 petang.

Seorang anggota keluarga yang enggan dikenali berkata, kedua-dua mangsa adalah rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi dan kerap ke kolam berkenaan untuk memancing.

“Mereka memang suka memancing, walaupun pernah dilarang ibu masing-masing.

“Rasanya hanya mereka berdua memancing di kolam tadahan itu hari ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Berdasarkan maklumat bomba, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia empat jam sebelum mayat ditemui.

“Siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan turut menemui dua batang joran yang dipercayai digunakan mangsa selain motosikal jenis Honda C70 yang ditunggang ke kolam berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya – berita harian