POLIS mencari dua saksi penting bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah membabitkan kerugian berjumlah RM139,871 yang membabitkan peneroka FELDA Lakum, Temerloh, tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, saksi pertama adalah Ishak Abu Hassan, 40, yang alamat terakhirnya di Nombor 6, Taman Sena, Pokok Sena, Kedah.

Katanya, saksi kedua pula dikenali sebagai Elmirushuda Amerudin, 27, dan alamat terakhirnya di Lot 433, Kilometer 29 Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor.

“Kedua-dua saksi diminta hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah dipercayai oleh syarikat NNS International Holidays Sdn Bhd yang tidak wujud.

“Kita menerima 21 laporan polis dibuat oleh mangsa dari FELDA Lakum, Temerloh selepas mereka tertipu dengan syarikat berkenaan dengan kerugian keseluruhan RM139,871,” katanya.

Mohd Wazir berkata, syarikat berkenaan dipercayai membuat taklimat dan penerangan pakej ditawarkan di Balai Raya FELDA Lakum pada 11 Mei tahun lalu.

“Mereka menawarkan dua pakej umrah iaitu pakej cuti sekolah dan pakej hari biasa, ramai peneroka terpedaya dengan tawaran diberikan.

“Setakat ini, polis sudah berjaya menahan tiga suspek yang dijangka didakwa dalam masa terdekat, namun kita masih memerlukan kerjasama dua saksi berkenaan untuk tampil membantu siasatan,” katanya -metro