IPOH – Keseronokan dua sepupu mandi di Air Terjun Silibin berhampiran Jalan Perindustrian Silibin 1 di sini semalam berakhir dengan tragedi apabila mereka mati lemas.

Mayat K. Guganeswa­ran, 24, dan V. Vikneshwaran, 20, ditemukan pada pukul 7.30 malam pada kedalaman dua meter.

Difahamkan, dua mang­sa tersebut bersama tujuh lagi ahli keluarga lain sedang berkelah di kawasan berkenaan apabila kejadian itu berlaku.

Ketua Operasi dari Ba­lai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Sharudi Halil berkata, pihaknya menerima panggilan kece­masan berhubung kejadian itu pada pukul 6.02 petang.

Beliau berkata, perjalanan ke tempat kejadian yang melalui jalan sempit serta pendakian hampir 45 minit menyebabkan masa panjang diambil dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.

“Selepas kesemua mang­­sa ditemukan, mereka di­bawa keluar oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh serta anggota dari Ba­lai Bomba dan Penyelamat Meru Raya sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat – utusan online