Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN SERAI: Dua suspek pembunuhan seorang warga emas yang sedang bersenam bersama isterinya di Taman Wawasan pada pagi Khamis dicekup dalam dua serbuan berasingan kurang daripada 24 jam selepas insiden berlaku.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata kedua-dua suspek diberkas oleh pihaknya di Kampung Tanah Kebun dan Tali Air Besar, Batu 5, di sini hari ini.

Jelasnya, kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan berdasarkan hasil siasatan segera ke atas kes tersebut.

Omar berkata, kedua-dua suspek diberkas polis sekitar jam 2 pagi di rumah masing-masing sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Parit Buntar untuk direman selama seminggu sehingga 13 Julai ini.

“Susulan kes pembunuhan dan samun pasangan warga emas sehingga menyebabkan kematian seorang peniaga bahan binaan berusia 74 tahun semalam (Khamis), polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi memberkas suspek-suspek terlibat.

“Berikutan itu, polis berjaya menahan dua suspek orang tempatan berusia 27 dan 28 tahun tidak sampai 24 jam selepas kejadian berlaku hasil beberapa petunjuk termasuk motosikal yang digunakan suspek,” katanya dalam sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian di sini hari ini.

Pada Khamis, rutin berjoging pasangan suami isteri warga emas berakhir dengan tragedi apabila si suami maut ditikam dua peragut di hadapan sebuah bank di Taman Wawasan Jaya, di sini.

Mangsa, Yeap Ah Kang @ Yeap Bak Seng, 73, ditikam pada bahagian perut ketika cuba mempertahankan isterinya yang berusia 67 tahun daripada suspek yang mahu meragut rantai leher wa­nita terbabit.

Suspek yang gagal mendapatkan rantai leher itu kemudiannya bertindak me­larikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha LC 135.