IPOH: Lembaga Air Perak (LAP) mendakwa di mahkamah dua syarikat yang mencuri air sehingga menyebabkan lembaga itu kehilangan pendapatan yang banyak setiap bulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kehilangan hasil itu tetapi memberitahu, ada di antara syarikat itu yang mencuri air bernilai kira-kira RM100,000 sebulan.

Menurut beliau, di samping dua syarikat itu, terdapat beberapa lagi kes kecurian yang masih di dalam siasatan dan penyediaan laporan.

“Yang ini kita tidak akan bertolak ansur kerana mereka bertindak dengan cara yang tidak baik, malah menghalang pekerja LAP dan sebagainya, pihak LAP akan bertindak tegas,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah LAP di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar LAP, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa.

Dr Zambry berkata, kes kecurian itu melibatkan syarikat besar seperti kilang ais, ladang ayam haram dan syarikat pembinaan.

“Ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada sumber pendapatan LAP di samping menafikan hak orang lain di kawasan berkenaan untuk mendapatkan sumber air yang baik, umpama ada kes di tempat tertentu yang mengalami tekanan air rendah,” ujarnya.

Beliau memberi jaminan LAP akan bekerja keras untuk memastikan sumber air dapat diuruskan dengan baik dan selamat bagi memastikan tidak berlaku kecurian dan sebagainya.