IPOH: Dua syarikat terkemuka negara iaitu Spritzer Sdn Bhd dan Yee Lee Corporation mengambil inisiatif menyumbangkan sebanyak RM1 juta secara keseluruhannya kepada Tabung Harapan Malaysia.

Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata sumbangan daripada syarikat yang mengeluarkan produk air mineral dan barangan harian seperti minyak masak cap Helang dan Morning Kiss tersebut merupakan penyumbang terbesar setakat ini di negeri Perak dengan masing-masing menyumbang RM500,000 kepada tabung itu.

“Tabung Harapan Malaysia ini mendapat sambutan baik, dalam tempoh dua hari sahaja sebanyak RM20 juta telah diperolehi sejak dilancarkan. Terima kasih Spritzer dan Yee Lee dapat memberi satu teladan yang baik.

“Saya rasa, dengan sumbangan RM1 juta ini, ia akan menggalakkan lebih banyak syarikat besar lain untuk membuat sumbangan. Saya ingin tegaskan, jumlah sumbangan bukanlah perkara utama, yang penting keikhlasan…jumlah boleh ikut kemampuan sendiri, tidak ada paksaan,”katanya dalam sidang media di Wisma DAP di sini, hari ini.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP menyeru mana-mana pihak yang berkeupayaan untuk tampil memberikan sokongan.

Ketika ditanya sekiranya beliau akan menyeru rakan-rakan daripada Pakatan Harapan untuk menyumbang gaji dan wang ringgit seperti yang dilakukan beliau dan ADUN Kepayang, Dr Ko Chung Sen sebelum ini, Kor Ming berkata beliau tidak memaksa mana-mana individu nilai sumbangan bukanlah ukuran.

Kor Ming berkata, paling penting kempen tabung Harapan ini telah berjaya memupuk kesedaran kalangan rakyat Malaysia yang cintakan negara Malaysia untuk berkorban demi negara.

“Dulu, ada pihak mengatakan peniaga dari kaum Cina, mementingkan keuntungan sahaja, tidak cintakan negara tetapi, kini kita buktikan anggapan ini adalah salah. Kita lihat sekarang, syarikat besar sanggup tampil ke hadapan untuk membuktikannya. Mereka, (peniaga Tiong Hua) juga cintakan negara…sanggup tampil ke hadapan untuk membayar hutang negara.

“Ini penting, supaya kita tahu, di bawah Malaysia baru, tak kira Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain, kita semua satu negara, ini adalah pencapaian yang amat tinggi,”katanya lagi.

Kor Ming juga dalam pada itu mengingatkan bahawa setiap sumbangan yang diberikan kepada THM akan dikecualikan daripada cukai.

Sementara itu, Pengarah Kajian Dan Penyelidikan (R & D) Spritzer Sdn Bhd, Dr Chuan Chaw Teo berkata mereka terasa amat terpanggil dan berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada pihak yang mampu memberikan sedikit sebanyak sumbangan kepada negara.

“Kami berharap, dengan sumbangan dan peranan kecil yang kami laksanakan ini, kami akan dapat memberi dorongan kepada pihak lain untuk tampil dan ambil peluang ini menyumbang, kami harapkan yang terbaik buat Malaysia untuk mendepani sebarang cabaran di masa akan datang,”katanya lagi.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Spritzer Bhd, Lam Sang, Ketua Pegawai Eksekutif Yee Lee Corporation Sdn Bhd, Lim Ee Young dan Pengarah Eksekutifnya, Francis Chok Yin Fat.

1/2