Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Dua warga emas cedera dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Lebuhraya Ipoh-Lumut menghala ke Menglembu pada petang Sabtu.

Dalam kejadian sekitar dua petang itu, kemalangan melibatkan dua buah lori masing-masing lori lima tan dan satu tan serta sebuah kenderaan jenis Perodua MyVi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih, Pegawai Bomba Kanan II Shaharizala Abu Hanifah berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 2.13 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya kami di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan yang berlaku di lorong tengah jalan itu melibatkan seorang warga emas lelaki berusia sekitar 63 tahun tersepit di dalam kenderaan jenis MyVi.

“Kami juga menemui seorang warga emas wanita berusia 60 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mengalami kecederaan ringan,”katanya.

Jelasnya,pemeriksaan awal pihak BBP Pasir Putih terhadap kedua-dua pemandu lori mendapati mereka terselamat.

Menurut Shaharizala, pihaknya telah menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang didapati mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kaki sebelum dihantar ke hospital.

“Operasi yang mendapat bantuan daripada BBP Ipoh itu tamat sekitar 3.40 petang,”ujarnya lagi.