TELUK INTAN: Sepasang suami isteri warga Indonesia maut selepas tercampak dari motosikal mereka apabila bertembung dengan sebuah kenderaan di Kilometer 47, Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat sini, pada pagi Jumaat.

Dalam kejadian itu, suami dan juga penunggang,65 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan isterinya,66 dirempuh sebuah kenderaan jenis Perodua Alza sebelum maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisiomer Mohammad Marzukhi Mohammad Mokhtar berkata insiden itu berlaku apabila Alza yang dipandu seorang wanita tersebut sedang dalam perjalanan dari Sitiawan ke Teluk Intan.

“Siasatan awal mendapati Alza tersebut disyaki terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa, justeru menyebabkan pasangan suami isteri itu tercampak ke tepi jalan.

“Isteri yang merupakan pembonceng tercampak ke dalam parit berhampiran dan kedua-dua mereka disahkan maut di tempat kejadian,”katanya ketika dihubungi pada petang Jumaat.

Katanya, pemandu Alza yang bekerja sebagai jurujual itu mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi rawatan lanjut.

“Mayat kedua suami isteri itu telah dihantar bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.