TANJUNG MALIM: Seorang duda anak empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tanjung Malim di sini pada Rabu atas tuduhan membunuh seorang penjual ikan di Slim River, minggu lalu.

Tertuduh, Zulkafli Abdullah, 47, didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 2.30 pagi, 8 Januari lalu di hadapan sebuah rumah di Taman Slim Permai, Slim River.

Mangsa, Roslli Zulkharnain Kamaruddin, 30, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Slim River akibat kecederaan parah selepas ditikam dengan sebilah pisau di perut.

Tertuduh mengangguk tanda faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan 16 Februari ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Slim River dan memberi peluang kepada tertuduh untuk mendapatkan khidmat peguam.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aza Fyreen Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang berpakaian lokap diiringi Pegawai Penyiasat IPD Mualim, Asisten Superintendan Wan Roszaman Wan Harun, tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi.

Dalam laporan media sebelum ini, kes berkenaan berlaku berpunca daripada pergaduhan yang berkesudahan mangsa ditikam di bahagian perut.

Dalam kejadian itu, tertuduh juga mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dikatakan akibat dihentak di atas jalan raya.