TAIPING– Ramadan tahun ini tidak semeriah seperti sebelumnya buat mangsa banjir di Kampung Temelok, Trong apabila rumah mereka dinaiki air sejak lima hari lalu.

Banjir itu menyebabkan hampir kesemua peralatan rumah musnah selain mereka terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sehingga keadaan beransur pulih.

Tinjauan yang dibuat ke Sekolah Kebangsaan Temelok mendapati terdapat 28 mangsa banjir daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di sini, namun ramai yang sudah pulang ke rumah masing-masing.

Hampir kesemua yang ditemui berharap pihak berwajib dapat meringankan beban mereka, khususnya dari segi persiapan hari raya Aidilfitri tidak lama saja lagi.

Latifah Shafie, 61, tidak dapat menahan sebaknya ketika menceritakan kesusahan yang dihadapi sepanjang banjir itu berlaku, selain mengakui tidak pernah mengalami situasi sedemikian.

“Jadi makcik sedih sebab teruk macam ini, makcik duduk dua orang dengan pakcik dan anak-anak semua di Kuala Lumpur, ada seorang di Batu Hampar, tapi rumah dia pun dinaiki air.

“Barang-barang semua habis, makcik kena cuci rumah sendiri dengan pakcik, kalau boleh makcik nak balik hari ini tetapi rumah tak sempurna macam biasa, peti ais rosak semuanya… tiada apa yang tinggal,” ujar Latifah.

Selain itu, Aminah Ismail, 29, ditempatkan bersama suami dan tiga orang anak di sini, dia yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah menjelaskan punca rezekinya itu musnah disebabkan banjir, malah duit jualan tidak dapat diselamatkan.

“Dalam rumah saya ada jual makanan ringan seperti keropok, coklat, ais krim dan ais batu, tetapi habis dihanyutkan banjir termasuk duit.

“Kalau boleh kami nak bantuan sebab rumah pun teruk dengan bumbung bocor, tadah besen dekat bawah, setiap kali nak masak memang teruk sebab bocor, dalam almari habis baju anak-anak basah,” kata Aminah.

Seorang lagi mangsa, Latifah Yahya, 42, berkata kawasan rumahnya antara yang terjejas teruk dan sehingga kini hatinya resah memikirkan nasib yang menimpa mereka tujuh beranak.

“Sedih pun ada kita nak sambut raya walaupun duduk sini (pusat pemindahan) makan minum semua terjaga, tapi hati tak tenang ingat rumah.

“Keadaan rumah dah tengok dan tinggal satu bilik tak cuci, saya baru saja berniaga bakso tepi jalan, lepas rayalah kalau nak berniaga pun,” katanya.

Sementara itu, menurut Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Larut Matang dan Selama, Idris Shahrizat, Sekolah Kebangsaan Temelok menjadi satu-satunya pusat pemindahan yang masih dibuka berbanding lima pusat sebelum ini.

“Bencana banjir berlaku pada 26 Mei yang melibatkan lima buah pusat pemindahan tetapi semuanya sudah ditutup, tinggal di sini yang melibatkan 145 keluarga seramai 517 mangsa.

“Setakat hari ini tinggal lagi sembilan keluarga dan 28 mangsa yang ada di pusat pemindahan, lainnya sudah kembali ke rumah masing-masing,”kata Idris.