KUALA LUMPUR: Jodoh dicari namun duit yang ‘terbang’. Itu nasib dialami seorang ibu tunggal yang menjadi mangsa putar belit seorang kasanova.

Mangsa berusia 36 tahun kehilangan wang RM91,000 selepas dijanjikan untuk berkahwin.

Mangsa yang ditemui selepas membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA berkata, dia mula mengenali suspek berusia 40 tahun selepas berkenalan melalui aplikasi Sweet Ring pada September tahun lalu.

Menurutnya, lelaki itu yang mendakwa bekerja di Singapura memberikan pelbagai harapan mahu mendirikan rumah tangga selain mahu melamarnya.

“Lelaki itu kemudian meminjam wang daripada ibu saya RM76,000 dengan memberi alasan menghadapi masalah kewangan dan berjanji untuk memulangkan kembali wang dalam tempoh tiga bulan.

“Bagaimanapun saya hanya menerima cek tendang daripada lelaki itu. Dia mendakwa kononnya Bank Negara membatalkan cek berkenaan atas faktor usia ibu saya yang sudah lanjut,” katanya.

Masalah berlanjutan apabila dua pengutip hutang muncul di rumahnya dan menuntut hutang dibuat lelaki itu RM215,000.

“Malah sebelum menghilangkan diri, lelaki itu turut melarikan wang milik ibunya berjumlah RM15,000.

“Susulan kejadian itu saya sudah membuat laporan polis sebelum mendapati lelaki sama turut memperdaya beberapa wanita lain di ibu kota,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima 20 laporan daripada wanita yang menjadi mangsa kasanova sepanjang tahun lalu.

“Manakala tahun ini, saya menerima tiga kes iaitu seorang mangsa di Pulau Pinang, dua orang lagi di Johor Bahru termasuk mangsa terbaru ini.

“Saya harap wanita sentiasa berwaspada terhadap mesej dihantar individu selain menyelidik latar belakang lelaki baru dikenali,” katanya.