SHAH ALAM: “Kami bukan saja tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk dokumen penting malah pakaian dan duit raya lebih RM3,000 turut lebur menjadi abu,”.

Itu keluhan Mohd Tawil Hasan Raji, 66, selepas kediamannya di Kampung Bukit Cerakah Jaya di sini, musnah dijilat api Ahad lalu ketika dia sekeluarga keluar beraya dan membeli juadah di sekitar kawasan itu.

Sambutan Aidilfitri kali ini bertukar suram bagi bapa kepada sembilan anak dan 20 cucu itu kerana kini mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.

Mohd Tawil berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Wagimah Wagimin, 62, keluar membeli makanan manakala semua anak dan cucunya beraya di Kampung Kapar, Klang.

“Pada jam 11.10 pagi, saya terkejut apabila dimaklumkan anak mengenai kebakaran itu dan terus bergegas pulang.

“Setibanya di rumah, hati saya luluh melihat rumah yang didiami hampir 40 tahun lalu itu marak dijilat api,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Hadir melawat keluarga malang itu adalah Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Muhammad Shakir Ameer Mohideen serta wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 22 Shah Alam, Ahmad Faudzi Mohd Nazam.

Mohd Tawil berkata, kebakaran itu mengakibatkan semua barangan termasuk duit raya anak dan cucunya musnah.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan reda dengan kejadian itu.

“Nilai kerugian dianggarkan lebih RM90,000 dan punca kejadian dipercayai akibat litar pintas. Kini, kami menumpang seketika di rumah ahli keluarga berdekatan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian bomba mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran berikutan kekurangan aliran air di kawasan tinggi itu sebelum ia dapat dipadamkan sepenuhnya.

“Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu menyediakan kemudahan saliran air paip lengkap di kawasan ini yang agak berbukit demi kemudahan penduduk,” katanya yang turut memohon masalah jalan di Lorong Awin itu dapat dipertimbangkan.

Sementara itu, Muhammad Shakir berkata, pihaknya akan memanjangkan isu bekalan air kepada kerajaan negeri termasuk mengenai bantuan bencana bagi keluarga malang berkenaan.

“Setakat ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penduduk setempat sudah menyalurkan bantuan kilat bagi meringankan beban mangsa,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi anak mangsa, Ashari Mohd Tawil di talian 01111853855 atau menyalurkannya di akaun bank CIMB bernombor 12180000476208 – beirta harian