BUKIT CHANDAN: Selepas meletakkan jawatanya sebagai Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Kuala Kangsar pada minggu lalu, Dul Hayati Baheran hari ini mengumumkan keluar parti.

Katanya, keputusan itu diambil kerana berasa dirinya seperti “dihalau” oleh ahli-ahli PPBM Perak dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu yang didakwanya sebelum ini tidak mengambil peduli terhadap masalah ahli di peringkat akar umbi.

“Jika dulu saya keluar UMNO kerana tidak percayakan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kali ini saya keluar kerana tidak mempunyai kepercayaaan terhadap kepimpinan Bersatu Perak.

“Saya tidak mengejar glamour, saya tidak akan sebut mana-mana nama cuma tindakan saya ini adalah disebabkan tidak bersetuju dengan kepimpinan parti dan saya rasa susah nak menang kalau Bersatu jadi Ketua Pakatan Harapan Perak,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, surat perletakkan jawatanya itu akan dihantar ke pucuk pimpinan parti pada Isnin depan.

Minggu lalu, Dul Hayati bersama Ketua Penaja Bahagian Parit, Rosli Ali telah mengumumkan pelepasan jawatan mereka kerana rasa terbiar oleh kepimpinan negeri serta berpendapat PPBM Perak sudah hilang arah tuju serta punca.

Rosli bersama 200 ahli parti itu turut mengumumkan keluar parti.

“Objektif PPBM mulai lari dari landasan sebenar, PPBM bukan sahaja bermain dengan politik tidak matang dan berserabut tetapi lebih bersifat sebagai “Sarang naga” yang menyaksikan golongan yang datangannya dari kem-kem tertentu berebut jawatan dan pada masa sama amalkan dasar cantas dan menekan,” kata Rosli dalam sidang media yang dibuat pada 19 Oktober lalu di Ipoh.

-Gambar-Utusan