KUALA LUMPUR :`Gua caya sama lu’ demikian ringkas Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung projek Lynas Corporation Ltd. (Lynas) yang dahulunya ditentang kepemimpinan Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan tersebut berkisar kepada hantaran dalam laman Facebook beliau tentang video sidang akhbar penuh emosi Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh suatu ketika dahulu berhubung sisa nadir projek Lynas yang mampu menjejaskan kesihatan pendudukan di ibu negeri berkenaan.

“Bertabahlah…Gua caya sama lu!. Dulu kononnya #SaveMalaysiaStopLynas.

“Kini #SaveMalaysiaKeepLynas,” katanya dalam hantaran melalui akaun laman sosial Facebook miliknya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan masih menunggu cadangan Lynas dalam mengendalikan sisa pemprosesan nadir buminya.

“Kami memberikan syarat ini kepada Lynas supaya mereka mempunyai perancangan dalam mengendalikan sisa berkenaan. Kami sedang menunggu mereka untuk memaklumkan kepada kami bagaimana mereka akan melakukannya.

“Sama ada mereka akan mencari tempat yang mereka boleh lupuskan sisa itu ataupun tidak,” katanya.

Dr. Mahathir mengulas laporan berita yang mendakwa kerajaan mungkin akan menggugurkan syarat bagi Lynas memindahkan sisa pemprosesan nadir buminya keluar dari Malaysia.

Akhir tahun lepas, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat untuk perbaharui lesen Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar keluar sisa bahan radioaktif dari negara ini.

LAMP juga perlu memastikan sisa buangan “Water Leached Purification’’ (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif dihantar keluar dari Malaysia

 

-UTUSANONLINE