SUAMI isteri bisu di Kampung Sebatu, Merlimau, Jasin, bersyukur apabila memiliki kediaman sendiri selepas lebih 30 tahun menumpang di rumah keluarga mereka.

Razak Seman, 49, berkata, bantuan rumah bernilai RM40,000 menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS-7) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri itu diibaratkan sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya dan isteri, Norlizah Mohd Noor, 47, tahun ini.

“Memang selama ini saya dan isteri mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri, tetapi dengan keadaan diri dan kerja yang tidak menentu, termasuk berpendapatan kira-kira RM900 sebulan, saya terpaksa memendam hasrat itu dengan menumpang di rumah keluarga.

“Apabila nama saya terpilih sebagai seorang penerima, saya berasa sangat terharu dan bersyukur dengan pemberian ini (rumah). Sesungguhnya, lebaran yang bakal disambut tahun ini lebih bermakna buat kami berdua,” katanya menerusi penterjemah, Muhammad Afiq Isa.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan rumah Projek Pembinaan Rumah di bawah NBOS-7: My Beautiful Neighbourhood 2018 di Kampung Sebatu, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Noor Hisham Kamal.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, program yang dilaksanakan itu merangkumi pembinaan semula rumah terbakar, golongan miskin dan penambahbaikan semula.

“Bagaimanapun, bukan semua rumah yang terbakar dan warga miskin kita akan bina.

“Ia terhad dan bergantung kepada peruntukkan serta kapasiti pelaksanaan di negeri, selain kelayakan calon atau peserta itu mengikut kriteria pemilihan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini jabatan berkenaan memperuntukkan sebanyak RM105,000 bagi membina semula sebuah rumah dan lima projek membaikpulih rumah – hmetro