IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Enakmen Perbekalan atau Bajet Negeri Perak 2018 setelah dibahaskan empat hari oleh hampir kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Bajet 2018 Perak berjumlah RM1.17 bilion dibentang pada 21 November lalu yang bertemakan ‘Rakyat Aman dan Jaya’.

Daripada peruntukan itu, RM775.5 juta disediakan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM421.28 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Ketika membentangkan bajet itu di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata bajet itu memberi tumpuan kepada lima fokus utama.

Lima fokus itu ialah memacu pembangunan dan ekonomi negeri; memakmur dan mensejahterakan rakyat; melahirkan masyarakat berilmu dan generasi cemerlang; mengutamakan sara diri rakyat dan memulihara kelestarian sumber dan khazanah negeri.

Persidangan ditangguhkan kira-kira jam 9.25 malam ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.