IPOH: Selepas memberi pelbagai kemudahan seperti kereta rasmi, pejabat, kakitangan dan elaun bulanan, kerajaan negeri Perak terus memartabatkan ketua pembangkang.

Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, masa perbahasan ketua pembangkang, Datuk Saarani Mohamad, ditambah dari 40 minit kepada sejam.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pada persidangan Belanjawan 2019 negeri Perak mulai Selasa depan, ketua pembangkang diberi satu lagi keistimewaan.

Menurut beliau, kali ini, ketua pembangkang diberi peluang berbahas dua kali, pertama ketika permulaan sesi perbahasan dan kedua, selepas Exco kerajaan negeri menggulung.

Katanya, ketua pembangkang akan diberi peluang berucap sekali lagi sebelum Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal menggulung perbahasan.

“Ketua Pembangkang diberi masa sejam untuk memberi pandangan mengenai jawapan-jawapan yang diberi Exco,” katanya pada sidang media di Bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, sidang DUN Bajet 2019 negeri Perak akan berlangsung pada 27 November hingga 5 Disember depan.

Bagaimanapun, katanya, persidangan hanya akan berlangsung enam hari kerana tiada persidangan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Dalam pada itu, Koo Ham memberitahu, pihaknya juga akan membuat beberapa pembaharuan untuk memastikan persidangan kali inj berjalan lebih lancar.

Antara pembaharuan itu ialah menyediakan kafeteria yang menjual makanan dan minuman.

“Sebelum ini ramai pemerhati dan pembantu wakil rakyat yang turut makan minum di kafeteria yang dikhaskan untuk wakil rakyat dan kakitangan kerajaan, menyebabkan berlaku kesesakan dan makanan tidak cukup,” ujarnya.