IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan dibubarkan selepas pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Zambry berkata, sebaik sahaja pengumuman mengenai pembubaran Parlimen dibuat, beliau akan mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mengusulkan perkara yang sama (pembubaran Dewan Negeri).

“Kalau ada cerita-cerita bahawa akan ada pilihanraya yang lain, negeri lain, Persekutuan lain, dalam konteks negeri Perak, saya fikir tidak berlaku perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, pihaknya telah membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada bila-bila masa.

“Kita telah membuat persiapan logistik, demikian juga untuk menentukan calon-calon yang akan bertanding, sudah berada di peringkat terakhir dan telahpun dibuat beberapa keputusan yang berkaitan dengannya,” ujarnya.

Beliau memberitahu, setakat ini tidak ada lagi perebutan mana-mana kerusi, sebaliknya lebih kepada proses kemaskini, lebih daripada perbincangan yang tidak memberikan impak positif.

“Keputusannya telahpun ada dan lebih kepada proses kemaskini. kita telahpun siap senarai-senarai itu,” katanya sambil menambah, calon-calon yang disenaraikan terdiri daripada mereka yang boleh menang, sekaligus untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kemungkin senarai itu ditukar sekiranya berlaku perkara-perkara yang diluar jangka yang merupakan suatu proses biasa ketika menghadapi pilihan raya.

Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, dalam beberapa bulan sahaja tahun ini, kerajaan negeri berjaya menguruskan dengan efektif fail-fail yang dikemukakan untuk kelulusan dan perhatian mesyuarat Exco.

“Keputusan-keputusan yang dibuat juga adalah menunjukkan bahawa kerajaan ini terus bekerja, di sebalik persiapan-persiapan terakhir untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang,” kata beliau.